Majlis Apresiasi Dan Graduasi SIS 2018

IPOH, Sabtu 13 Okt – Sekolah Izzuddin Shah (SIS) telah mengadakan Majlis Apresiasi Dan Graduasi SIS 2018 yang diadakan di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, SIS yang bertujuan untuk memberi penghargaan kepada pelajar-pelajar SIS yang telah mengharumkan sekolah dalam aktiviti ko-kurikulum dan ko-akedemik serta meraikan calon-calon SPM SIS 2018 yang bakal menamatkan pengajian di SIS pada tahun ini.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Alumni SIS yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Agama Dan Pendidikan Islam, Luar Bandar Dan Pembangunan Usahawan Negeri, YB Tuan Haji Asmuni Bin Awi.

Dalam ucapan perasmian beliau membayangkan bahawa, Kerjaan Negeri kemungkinan untuk terus mengekalkan status Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) di negeri ini walaupun terdapat cadangan awal untuk menjadikannya Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Perak mempunyai tiga buah SMAN iaitu Sekolah Izzuddin Shah (SIS), Sekolah Raja Perempuan Taayah dan Sekolah Menengah Raja Dr Nazrin Shah.

Beliau berkata, beberapa penambahbaikan perlu dilakukan, seperti menambah bilangan guru tetap.

“Saya difahamkan masih ada guru kontrak dan saya akan panjangkan isu ini kepada Kementerian Pendidikan untuk pastikan sekolah-sekolah ini mempunyai guru-guru yang mencukupi,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Apriasi dan Graduasi SIS di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin; Pengetua SIS, Omar Bakar dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SIS, Dhohiri Abdul Samad.

Asmuni berkata, sejak SIS dibina kira-kira 60 tahun lalu, SIS telah melahirkan ramai tokoh terkenal seperti bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Dr Muhammad Nur Manuthy dan Datuk Dr Siddiq Fadzil.

Beliau yang juga bekas pelajar sekolah itu yakin, SIS akan terus cemerlang di masa-masa akan datang.

Dalam hubungan ini, beliau menyarankan agar pihak ibu bapa dan PIBG sentiasa berbincang dengan guru-guru untuk membantu mengatasi masalah pelajar dan sekolah.

Bagi tujuan itu, kata Asmuni, kerajaan akan memikirkan kemudahan yang lebih baik supaya ibu bapa lebih selesai berada di sekolah, seperti pembinaan kantin awam.

Buat masa ini SIS mempunyai 76 orang guru dengan 574 pelajar, termasuk 46 pelajar Tingkatan 6. – SUARA PERAK

 


Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *